Whatsapp/SMS: 019 414 7088

Tentang Songket



Songket merupakan sejenis kain yang biasanya ditenun tangan, dan mempunyai corak rumit benang emas atau perak. Perkataan songket bermaksud membawa keluar atau menarik benang daripada kain atau menenun menggunakan benang emas dan perak.

Dari segi sejarah, ia hanya dipakai golongan bangsawan - keluarga kerabat diraja dan orang besar negeri. Kehalusan tenunan dan kerumitan motif corak songket ketika itu menggambarkan pangkat dan kedudukan tinggi seseorang pembesar. Ia telah terkenal di Malaysia dan Indonesia sejak abad ke-13 yang lampau.

Songket punya nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung. Selain mengangkat martabat si pemakai, motif dan warna tenunan songket melambangkan kedudukan seseorang.

Sejarah

Sejarah dari mana datangnya kain songket itu tidak dapat dipastikan dengan tepat, namun dan asal usul perkataan songket dikatakan berasal daripada ‘menyungkit’ kerana dalam bahasa Siam ‘kek’ membawa erti menyungkit selain ‘songkok’ (China) membawa maksud yang sama.


Mengikut Robyn Maxwell (1990), pengetahuan orang Melayu mengenai teknik songket mungkin diambil daripada orang Cina yang memperkenalkan bahan logam tetapi kehadiran budaya dari Timur Tengah, Parsi, Turki dan Moghul (India) telah memperkukuhkan lagi penghasilannya.
Tidak banyak diketahui mengenai asal songket, tetapi kemungkinannya penenunan songket berkembang di Malaysia melalui perkahwinan antara keluarga diraja, yang merupakan strategi penyatuan biasa sekitar abad ke-15.
Songket menggunakan teknik tenunan, di mana benang emas ditenun antara benang sutera pada kain latar. Fibrik yang mewah dan mahal ini menggambarkan struktur sosial dikalangan bangsawan Melayu.

Corak dan motif

Corak dan motifnya memaparkan ciri-ciri unik identiti orang Melayu dan sekali gus mencerminkan cita rasa budaya bangsa yang mekar dalam persekitaran yang kaya dengan keindahan dan keunikan. Antara corak yang digunakan:
  • Susunan bunga penuh
  • Susunan bunga bertabur
  • Susunan bercorak
Motif yang digunakan pula adalah seperti:
  • Motif Tumbuh-tumbuhan
  • Motif Binatang
  • Motif Alam/Benda
  • Motif Kuih
Proses pembuatan

Secara ringkasnya proses menenun songket adalah dengan menggunakan teknik menyungkit iaitu menggunakan lidi buluh atau bilah nibung melalui benang loseng (warp) di permukaan alat tenun yang dipanggil kek tenun. Proses menyungkit dilakukan setelah benang karat butang disediakan. Benang karat butang digunakan untuk membuat reka corak atau sulaman benang emas.
  • Mencelup benang
  • Melerai benang
  • Menganeng benang
  • Menggulung
  • Menyapuk benang
  • Mengarak benang
  • Menyongket benang
  • Menenun
Songket kini

Hari ini, pemakainya lebih menyeluruh, tidak terhad kepada kerabat diraja. Cara pemakaiannya juga lebih meluas, bersesuaian dengan majlis begitu juga corak dan motifnya yang semakin kontemporari, sesuai dengan perubahan dan peredaran masa. Suasana yang melatari songket kini turut berubah selaras dengan peredaran masa.

Kini, usaha untuk memastikan kesinambungan industri songket masih berterusan dan secara relatifnya berjaya mencapai tahap yang memuaskan sehingga songket semakin popular digunakan sebagai busana majlis perkahwinan, hantaran perkahwinan, cenderahati dan hiasan dinding.

Peningkatan kos penghasilan sutera, benang emas dan perak serta perubahan fesyen dan trend sedikit sebanyak mempengaruhi industri songket seawal pertengahan abad ke-20.

Sumber